Politeknik Mersing, 30 April. Seramai 32 orang pelajar telah dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan. Pergerakan ini melibatkan sebuah bas, 2 buah van dan 4 buah kenderaan persendirian.

Pelajar-pelajar mula berkumpul seawal jam 10 pagi. Pelajar telah diberikan dua taklimat berkaitan keselamatan dan tatacara pergerakan ketika PKP. Yang pertama daripada Tuan Inspektor Muniandy A/L Arumugam, Ketua Bahagian Jab. Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti, IPD Mersing dan taklimat kedua dari Tuan Haji Lajakarek Bin Mohd Amin, Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar, PMJ.

Pada jam 11.00 pagi, pasukan bomba dari Balai Bomba Dan Penyelamat Mersing beserta Pasukan Hazmat Johor telah memulakan kerja sanitasi kenderaan dan semua beg-beg pelajar. Pasukan bomba ini diketuai oleh Encik Mohd Azhari Bin Awi, Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Daerah Mersing manakala Encik Muhamad Hairi Nizam Bin Mostapa mengetuai pasukan Hazmat.

Politeknik Mersing difahamkan, kenderaan hanya boleh bergerak selepas 3 jam proses sanitasi dilakukan bagi memastikan ianya betul-betul berkesan. Pergerakan ini juga akan dibantu oleh Pasukan Polis Trafik Daerah Mersing.

Pada jam 12.30 petang, para pelajar, pemandu serta pegawai pengiring telah dibekalkan dengan makanan seperti nasi, lauk-pauk, kurma, kuih-muih, roti dan minuman sebagai persediaan untuk berbuka puasa kerana dikhuatiri perjalanan akan mengambil tempoh yang lama.

Pada jam 1.00 petang, Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing telah hadir untuk memberikan taklimat dan peringatan akhir kepada pelajar.

Selepas solat Zohor, pada jam 2 petang, pelajar-pelajar mula menaiki kenderaan masing-masing. Sebelum menaiki kenderaan, proses saringan terakhir dilakukan dengan mengambil suhu seterusnya memakai cecair sanitasi dan dibekalkan satu topeng muka.

Semoga pengalaman ini menjadi antara detik yang sangat berharga kepada para pelajar dalam mendewasakan dan mematangkan mereka. Selamat kembali ke pangkuan keluarga!