8 Ogos 2023 - Telah berlangsung Majlis Perasmian Pembukaan Persidangan Liga Ilmu Serantau (LIS 2023) bertempat di Dewan Permata Marjan, Politeknik Mersing dan disempurnakan oleh YBrs. Dr. Mohd Zahari bin Ismail, Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik & Kolej Komuniti.

Hadir sama ialah YBrs. En. Hendra Findy Firdaus, Wakil Yayasan Ibnu Sina, YBrs. Assoc. Prof. Dr. Haji Mustaqim Syuib, Rektor Universitas Ibnu Sina Batam (UIS) Indonesia, YBrs. Ir. Hjh. Hilda Porawati, Pengarah Politeknik Jambi, Indonesia, YBrs. Dr. Muhammad Juni Beddu, Ketua Sekolah Tinggi Agama Islam Ibnu Sina, Indonesia, YBrs. Ts. Zainab binti Othman, Pengarah Kanan Kompetensi, JPPKK, YBrs. Dr. Riam a/p Chau Mai, Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi JPPKK dan YBrs. Puan Hilmun binti Mohamed, Pengarah Politeknik Mersing.

Persidangan kali ini mengangkat tema “DIGITAL TRANSFORMATION TOWARDS INFINITE POSSIBILITY”. Tema ini adalah sangat bertepatan dengan amanat Yang Berhormat, Datuk Khalid Nordin, selaku Menteri Pengajian Tinggi dalam Amanat Tahun 2023 turut mencadangkan "A New Horizon for Science, Technology and Innovation - A Strategy for Malaysia". Kerajaan memandang serius dalam merancang strategi memajukan ilmu penyelidikan dan inovasi untuk mengurangkan beban pentadbiran. Selain itu, galakan dalam memperkukuhkan Malaysia sebagai hab pengetahuan yang mampu menarik pelajar, penyelidik dan bakat dari seluruh dunia akan diperkasakan semula melalui Agenda Jangkauan Global Malaysia.
Antara intipati penyampaian ucaptama dari YBrs. Dr. Mohd Zahari bin Ismail, Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik & Kolej Komuniti ialah menjadikan Politeknik sebagai hub “Industry on Campus” dan Politeknik ke arah transformasi Institusi Teknikal yang maju ke hadapan seiring dengan arus pembangunan dan teknologi terkini. Beliau juga menyambut baik saranan daripada penganjur Bersama iaitu Universitas Ibnu Sina untuk menganjurkan Liga Sukan Serantau kelak.
Besarlah harapan agar kajian yang telah dilaksanakan oleh para pensyarah dan pelajar di institusi-institusi pengajian tinggi khususnya di bawah POLYCC dijadikan produk yang boleh menjana kemampanan dan kelestarian negara. Ini juga merupakan salah satu inisiatif untuk memperkasa penemuan dan idea anak tempatan ke pasaran global, melalui transformasi digital tanpa sempadan.