Karnival Remaja Sihat 2022 yang julung kali diadakan bersempena Minggu Sihat Politeknik Mersing Johor (PMJ) 2022 telah dianjurkan oleh Kelab Program Siswa Sihat (PROSIS) Politeknik Mersing dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Mersing dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan daerah Mersing seperti Pejabat Tanah Daerah Mersing,Majlis Daerah Mersing, Pejabat Belia dan Sukan Daerah Mersing, dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan Daerah Mersing. Karnival ini bermula 7 Jun 2022 sehingga 9 Jun 2022 dan bertempat di Dewan Permata Marjan, Politeknik Mersing, Johor.
 
Politeknik Mersing Johor telah dipilih untuk kali ini dan perasmiannya telah disempurnakan oleh Encik Mohd Arif bin Samsi, Penolong Pegawai Daerah Mersing. Kehadiran Dr Norzaher bin Ismail, Pegawai Kesihatan Daerah Mersing, Puan Hilmun binti Mohamed, Pengarah Politeknik Mersing, Cik Nurul Nazirah Binti Azhar, Penolong Pentadbir Tanah Daerah Mersing turut memeriahkan suasana. Malah, bukan itu sahaja kehadiran PMJumpers ketika gimik perasmian turut memukau para hadirin yang hadir.
Karnival ini merupakan inisiatif PROSIS Politeknik Mersing Johor, bersempena Minggu Sihat PMJ 2022. Ianya adalah usaha untuk membantu warga kampus dalam memperkasakan kesedaran kesihatan mental, emosi, dan kehidupan yang sejahtera. Puan Hilmun binti Mohamed, Pengarah Politeknik Mersing berkata Program Karnival Remaja Sihat 2022 ini merupakan satu program kesihatan untuk remaja demi melahirkan dan memupuk rasa tanggungjawab dalam diri pelajar mengenai kepentingan penjagaan kesihatan terutamanya mental.
 
Antara pameran yang terlibat adalah dari Unit Vektor, Unit Mental, Unit Pergigian, Unit Pemakanan dan Nutrisi, Unit HIV, Unit " Non Communicable Disease" , Agensi Anti Dadah Kebangsaan Daerah Mersing, Kelab Pembimbing Rakan Sebaya dan Kelab PROSIS Politeknik Mersing.
Selain pelajar Politeknik Mersing, turut hadir sama adalah rakan IPT dari Institut Latihan Perindustrian Mersing, Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia, Kelab Belia Sepakat Air Merah, Kelab Belia Semangat Baru dan Gabungan Pelajar Malaysia Semenanjung Cawangan Mersing.
Pelbagai aktiviti telah dijalankan dalam karnival ini antaranya:
 
* Feel Fresh Fun Walk - Semua peserta berpakaian sukan yang bertemakan warna hijau berjalan mengelilingi Politeknik Mersing sejauh 800 meter. Setiap peserta diberi kad cabaran dan perlu menjawab soalan dan mendapatkan jawapan dan pelekat dari gerai pameran agensi yang berada di dalam dewan.
 
* JRobik - Peserta perlu mengikuti senaman ringan sebelum memulakan Fun Walk yang dipimpin oleh instruktor dari Pejabat Belia dan Sukan Mersing
 
* Bual Bicara Bersama Pakar (Kesihatan Mental: Persepsi & Realiti) yang diikendalikan oleh Encik Azrul Shafiq Bin Bakar, Alumni Jabatan Perdagangan, Mantan Presiden ke-3 Kelab PROSIS, Politeknik Mersing bersama dua (2) orang panel iaitu Dr Suriati Binti Hashim, Pakar Perubatan Keluarga, Pejabat Kesihatan Daerah Mersing dan Puan Zaitun Binti Sipun, Pegawai Psikologi, Politeknik Mersing
 
* Look Good, Feel-Good slot Latihan Dalam Kumpulan bersama Kaunselor Kementerian Kesihatan Malaysia yang telah disampaikan oleh Cik Nur Suriati Hidayat, Kaunselor Pejabat Kesihatan Daerah Mersing.
Misi dan objektif diperkasakan lagi dengan perancangan pengisian seperti Kempen PMJ Bebas Denggi, PMJ Bebas Asap Rokok, Kempen Kesihatan Mental, Kempen Kesedaran Terhadap Kesihatan Seksual dan Reproduktif Remaja, cabutan bertuah, dan kuiz dalam talian.
 
Semoga PMJ sentiasa kekal prihatin terhadap kesejahteraan kesihatan siswa siswa dan warganya.