MERSING 10 – 11 April 2021 – Politeknik Mersing telah berjaya menganjurkan satu program khidmat masyarakat bertempat di Perkampungan Orang Asli, Kg. Peta Mersing. Program yang tertunda hampir setahun disebabkan kekangan pandemik COVID19 merupakan kesinambungan daripada “Kids Educational Charity Programme” yang dianjurkan oleh para pelajar semester 5 Diploma Sains Kesetiausahaan, Jabatan Perdagangan bagi memenuhi keperluan kursus Pengurusan Acara. Program berbentuk tuisyen amal ini diberikan kepada para pelajar sekitar Mersing dan dana terkumpul dari program ini disalurkan kepada penduduk Kg. Peta.
 
Sebelum melaksanakan tuisyen yang diadakan hampir 3 bulan itu, pelajar diberi kursus oleh pihak Kemas dan pihak sekolah terdekat bagi memastikan apa yang diajar selari dengan keperluan silibus semasa. Selain daripada dana yang dikumpul oleh para pelajar, beliau turut berterima kasih kepada semua organisasi dan orang perseorangan yang turut sama menyumbang dalam menjayakan program ini. Sementara itu, hasil sumbangan yang dibawa ke Kampung Peta juga merupakan hasil kerja keras pelajar-pelajar Jabatan Teknologi Maklumat & Komunikasi (JTMK) yang turut mengadakan "Charity Bundle Sale" di sekitar Mersing. Pelajar-pelajar ini mengumpul pakaian terpakai dan menjualnya semula di sekitar Mersing dengan mengenakan bayaran minima RM1.
 
Pengarah PMJ, Puan Hajah Hilmun Binti Mohamed turut hadir merasmikan Perpustakaan Mini dan Taman Herba untuk kemudahan penduduk Kampung Peta bersama dengan Tuan Norianto bin Ahmad, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Peta. Seterusnya, program disempurnakan bersama Rempoyang Kantan, Ketua Kampung Orang Asli (Tok Batin) dengan memberi sumbangan berbentuk keperluan asas harian seperti beras, tepung, gula minyak masak dan lain-lain keperluan harian serta beberapa kotak personal Domino’s Pizza dan susu Farm Fresh kepada penduduk Kampung Peta.
 
Jabatan Kejuruteraan Elektrik (JKE) juga turut bersama-sama menyumbang bakti dengan membuat pendawaian semula Dewan Balai Adat Kampung Peta. Ianya merupakan sebahagian daripada sistem pembelajaran TVET dalam memastikan setiap pengetahuan yang dipelajari di dalam kelas dapat diaplikasikan dalam suasana sebenar.