𝐁𝐈𝐙𝐞𝐂𝐨𝐦 𝐖𝐄𝐄𝐊 𝟏.𝟎 𝐀𝐍𝐉𝐔𝐑𝐀𝐍 𝐉𝐀𝐁𝐀𝐓𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐑𝐃𝐀𝐆𝐀𝐍𝐆𝐀𝐍, 𝐏𝐎𝐋𝐈𝐓𝐄𝐊𝐍𝐈𝐊 𝐌𝐄𝐑𝐒𝐈𝐍𝐆

𝟑𝟎 𝐀𝐏𝐑𝐈𝐋 𝟐𝟎𝟐𝟒 | 𝐒𝐄𝐋𝐀𝐒𝐀 | 𝐏𝐎𝐋𝐈𝐓𝐄𝐊𝐍𝐈𝐊 𝐌𝐄𝐑𝐒𝐈𝐍𝐆

Pada 27 April 2024 sehingga 30 April 2024, Jabatan Perdagangan Politeknik Mersing buat julung kali pertama telah menganjurkan program BIZeCom Week 1.0. Tujuan program ini adalah untuk melahirkan pelajar yang seimbang dan holistik dalam bidang ilmiah, sukan, kebudayaan dan keusahawanan. Program ini juga dianjurkan sebagai satu usaha bagi memupuk dan meningkatkan kemahiran komunikasi, daya pimpin dan keyakinan para pelajar untuk mengelola setiap aktiviti yang telah dirancang dengan baik. Penganjuran BIZeCom Week 1.0 telah berjaya menyumbang kepada pencapaian KPI jabatan iaitu Program Pensyarah Pelawat Industri (PPI) dan Program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) bersama komuniti setempat.

Seramai 480 pelajar telah menyertai program ini, yang terdiri daripada 237 pelajar program Diploma Pengajian Perniagaan (DPM) dan 243 pelajar program Diploma Sains Kesetiausahaan (DSK). Program ini telah dirasmikan oleh Puan Norbizuna Binti Abd Rashid, Ketua Jabatan Perdagangan Politeknik Mersing. Turut hadir adalah para pensyarah Jabatan Perdagangan yang memberi sokongan kepada program ini.

Diharapkan melalui program ini, para pelajar dapat memperoleh pengalaman dan pengetahuan baru yang membantu dalam pembangunan kerjaya dan kehidupan mereka pada masa akan datang.