Dalam menghasilkan organisasi yang terbaik dan cemerlang, Politeknik Mersing telah mengambil inisiatif untuk mengadakan satu program berbentuk forum yang bertujuan untuk menyediakan platform yang berkualiti untuk membincangkan, menilai, dan memahami pencapaian serta sumbangan individu dalam konteks Skim Perkhidmatan PPPT. Juga, Forum ini bertujuan untuk menyelaraskan pandangan dan penilaian dalam proses penentuan kenaikan pangkat dengan keperluan dan matlamat organisasi.
Forum ini telah dianjurkan oleh Jawatankuasa Pembangunan Kerjaya Staf dan ULPL. Moderator bagi forum ini ialah Ts. Zainolrin Bin Saari manakala Panel forum yang juga merupakan Panel Penilai Kesepakaran adalah terdiri daripada 1) Puan Hajjah Fadzillah Binti Mohd Yusof, 2) Dr. Setiawan Bin Hardono dan 3) Ts. Murugan A/L Krishnan.
 
Pelbagai ilmu pengetahuan dan pengalaman telah dikongsikan oleh panel yang boleh dijadikan panduan buat semua Pensyarah Politeknik Mersing. Antaranya setiap PPPT perlu menentukan kategori yang ingin dipohon sama ada kategori 1,2 atau 3 seterusnya menyediakan dokumen dalam gred semasa. Setiap pegawai perlu menyusun dokumen yang lengkap dan sistematik mengikut kategori dan item penilaian kenaikan pangkat dan bermula dari awal lagi. Bagi projek inovasi, pastikan projek tersebut lengkap satu kitar dan mempunyai impak dan kesinambungan yang memberi kesan kepada komuniti. Sebagai tambahan, setiap pegawai perlu ada 4M iaitu 1) Menyediakan, 2) Membuktikan, 3) Menjelaskan dan 4) Mengemukakan dalam memastikan pegawai layak untuk dalam kenaikan pangkat.
 
Dengan adanya forum ini, diharapkan para pegawai dapat memperoleh input yang bermanfaat dan dapat dijadikan panduan yang efektif untuk merancang dan melengkapkan permohonan kenaikan pangkat di masa akan datang. Semoga kecemerlangan individu yang tercapai melalui proses penilaian ini akan menjadi pendorong bagi kecemerlangan institusi secara keseluruhan, sambil tetap memegang teguh tujuan utama sebagai ahli akademia, iaitu melahirkan pelajar-pelajar TVET yang berkualiti dan terbaik. Dalam perjalanan ini, marilah kita bersama-sama mencapai keunggulan dan menyumbang kepada kemajuan TVET untuk generasi masa depan. Kejayaan adalah hasil daripada usaha yang berterusan dan tekad yang kukuh.