𝟐𝟏 – 𝟐𝟒 𝐒𝐞𝐩𝐭𝐞𝐦𝐛𝐞𝐫 𝟐𝟎𝟐𝟑 | 𝐇𝐀𝐓𝐘𝐀𝐈, 𝐓𝐇𝐀𝐈𝐋𝐀𝐍𝐃

Unit Pengantarabangsaan PMJ dengan kerjasama daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Politeknik Mersing telah melaksanakan International Mobility Programme: PSR @ Thailand, sebuah program Politeknik Corporate Responsibility (PSR) peringkat antarabangsa yang julung kali diadakan setelah pandemik Covid-19 pada tahun 2020. Program ini melibatkan 14 orang pelajar PMJ dari kalangan MPP dan sukarelawan politeknik. Bukan itu sahaja, program yang berlangsung pada 21-24 September 2023 ini turut disertai oleh 30 orang staf dari Politeknik Mersing, Politeknik Port Dickson, Politeknik Nilai dan Politeknik Merlimau yang turut menyumbangkan tenaga dan komitmen mereka dalam mengendalikan aktiviti komuniti di Masjid Jabalussalam Kuan Santi dan kawasan di sekitar Hatyai dan Songkhla.

Kembara ke Thailand ini juga memberikan kesempatan kepada peserta untuk menyokong usaha melestarikan alam sekitar dengan aktiviti pembersihan Pantai Samila di Songkhla bersempena World Cleanup Day yang diadakan pada bulan September setiap tahun. World Cleanup Day ini juga mendapat Kerjasama dari IEEE Climate Change. Bukan hanya itu, semua peserta dibawa melawat ke IKS yang terdapat di Hatyai antaranya Kilang Kacang Gajus, Perusahaan Kulit dan Perusahaan Madu Lebah. Ianya sebagai salah satu KPI unit keusahawanan dalam memberi idea dan pengetahuan untuk pelajar-pelajar sebelum mereka menceburi dunia perniagaan kelak.

Penganjuran program ini diharapkan dapat memupuk semangat dan kualiti kepimpinan serta meningkatkan nilai diri (self-esteem) dalam kalangan sukarelawan tidak kira dari kalangan pelajar mahupun kakitangan politeknik. Semoga warga Politeknik Mersing terus memberikan sokongan terhadap program pembangunan diri pelajar dan staf agar program di peringkat antarabangsa seperti ini dapat diteruskan demi menyahut cabaran melahirkan graduan berciri global melalui program pembangunan pelajar berciri holistik.