24 September 2023 - Seramai 196 pelajar daripada 14 buah Politeknik Malaysia telah menerima pertauliahan sebagai Staf Muda Pertahanan Awam Gred 13 di Dewan Permata Marjan, Politeknik Mersing Johor (PMJ) anjuran Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail (PTSN) bersama Politeknik Mersing (PMJ) dan Politeknik Ibrahim Sultan (PIS). Majlis pentauliahan disempurnakan oleh Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Yang Amat Setia KPj. (PA) Datuk Aminurrahim bin Mohamed diiringi wakil Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, YBrs. Dr. Zamzam bin Mohd Walid.

Pengarah Bahagian Kurikulum, Dr. Zamzam bin Mohd Walid berkata, penawaran Mata Pelajaran Pengajian Umum (MPU) bagi kokurikulum berkredit oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia yang berstruktur dilihat sangat bertepatan ke arah mempertingkatkan kualiti modal insan dengan berpaksikan falsafah negara Madani melalui teras pendidikan iaitu memberi fokus kepada pembangunan sahsiah atau โ€˜character developmentโ€™.

"Latihan dan kursus yang dijalankan bersama APM merangkumi aspek kognitif, psikomotor dan afektif terbukti berjaya membangkitkan elemen kemahiran insaniah, kepimpinan, tanggungjawab dan disiplin dalam kalangan anggota PISPA. Secara tidak langsung dapat memberi manfaat kepada masyarakat dengan ilmu yang diperolehi", ujarnya ketika berucap di Majlis Pentauliahan PISPA Politeknik Malaysia 2023 Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Dewan Permata Marjan Politeknik Mersing, Johor.