15 Ogos - Dalam usaha untuk mengurangkan peningkatan sisa tekstil dan mendorong amalan guna dan kitar semula melalui pendermaan pakaian terpakai, Jabatan Pengajian Am Politeknik Mersing dan Smart Green telah menganjurkan satu program inovatif yang dikenali sebagai "Program Trash Transformer" di bawah usaha Polytechnic Social Responsibility (PSR).
 
Program ini bertujuan untuk mendidik komuniti setempat tentang kepentingan kitar dan guna semula barangan berbentuk fabrik serta meminimumkan pengumpulan dan longgokan sisa fabrik yang tidak diingini di sekitar kediaman dan kawasan komuniti.
Program ini merupakan kerjasama antara Politeknik Mersing, Persatuan Ketua-Ketua Kampung Daerah Mersing dan Yellow Bin dan dijalankan dalam dua fasa di mana fasa pertama yang diadakan di Surau Al-Irsyad Politeknik Mersing dari 9 hingga 11 Ogos 2023. Manakala fasa kedua program berlangsung dari 12 hingga 14 Ogos 2023 bertempat di Balai Raya Kampung Makam, Mersing. Proses pengumpulan, penyaringan, dan pengagihan pakaian turut dibantu oleh para sukarelawan yang terdiri dari staf Politeknik Mersing.
 
Majlis penutup Program Trash Transformer dirasmikan oleh Pegawai Penilaian Majlis Daerah Mersing, Pn Noraniza binti Poniran serta dihadiri oleh AJK Persatuan Ketua-Ketua Kampung Daerah Mersing, Pengarah Politeknik Mersing Puan Hilmun binti Mohamed serta Timbalan Pengarah Sokongan Akademik Ts. Suhana binti Ismail.
Lebih membanggakan, sambutan masyarakat setempat terhadap Program Trash Transformer berjaya mengumpul sebanyak 5 tan pakaian terpakai untuk didermakan dan dikitar semula.
Program ini diharapkan mampu menjadi inisiatif untuk mencetuskan kesedaran dan perubahan dalam amalan harian masyarakat terhadap pengurangan sisa tekstil dan pemeliharaan alam sekitar.