Fit n Fun Tour De Mersing, anjuran PUSPANITA Politeknik Mersing telah diadakan pada 14 Ogos 2023. Seramai 48 orang ahli PUSPANITA yang telah terlibat dalam menjayakan program ini.
Antara objektif Fit n Fun Tour De Mersing adalah mempromosikan amalan gaya hidup sihat dan aktif kepada ahli PUSPANITA, memupuk semangat bekerjasama antara ahli kumpulan, mengeratkan hubungan silaturrahmi dan mendedahkan suasana kehidupan masyarakat daerah Mersing khususnya dari segi sosial dan ekonomi setempat kepada ahli-ahli PUSPANITA Politeknik Mersing.
 
Ahli PUSPANITA yang terlibat dalam Fit n Fun Tour De Mersing telah melalui pengalaman yang menarik melalui aktiviti senaman yang dilaksanakan di Gym 1 Mersing dengan sesi perkongsian tips-tips kesihatan daripada Coach Yan, iaitu coach yang telah berpengalaman selama 20 Tahun dalam bidang kecergasan fizikal, mental dan pemakanan. Aktiviti eksplorasi berkereta yang telah diadakan juga turut memberi pengalaman kepada ahli-ahli PUSPANITA untuk mengenal dengan lebih dekat tempat-tempat yang menjadi tarikan di Mersing.
 
Pada waktu yang sama, aktiviti ini juga memperkenalkan Industri Kecil Sederhana yang sudah pun lama bertapak di bumi Mersing seperti Keropok Lekor Azizah, Kedai Jambu Lohan serta sejarah kawasan setempat yang tidak diketahui ramai seperti Pulau Teko. Ahli-ahli PUSPANITA juga turut diberikan peluang untuk menaiki cruise daripada Ayuha Village untuk menikmati persekitaran di sungai Mersing.
Semoga dengan aktiviti seperti ini, ahli-ahli PUSPANITA mendapat inspirasi untuk menjadikan gaya hidup sihat dan aktif dalam menjalani kehidupan seharian.