22 - 23 Februari 2023
 
Unit Penyelidikan, Inovasi & Komersialan (UPIK), Politeknik Mersing (PMJ) telah mengadakan Lawatan Penanda Aras ke Politeknik Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah (PSA) dan Politeknik Melaka (PMK). Lawatan Penanda Aras ini merupakan salah satu program yang dirancang di bawah UPIK bagi membolehkan pertukaran idea dan pendapat dalam usaha meningkatkan produktiviti dalam penyelidikan, inovasi dan komersialan.
Lawatan ini telah dihadiri oleh 3 orang pegawai dari UPIK PMJ yang terdiri daripada Dr. Norazlina Ahmad (Ketua UPIK), Dr. Azman Talib (Penyelaras Pengkomersialan) dan Pn. Norazida Ali (Penyelaras Penyelidikan).
Melalui lawatan ini, pegawai turut didedahkan dengan proses penting melibatkan tugas penyelidikan, inovasi serta pengkomersialan di peringkat politeknik terlibat. Pengalaman dari pegawai-pegawai UPIK PSA dan PMK turut dikongsikan secara menyeluruh dalam lawatan ini.
 
Lawatan hari pertama melibatkan aktiviti pembentangan oleh Penyelaras Komersial, Ts. Ilya Ismail dari Innovation & Commercialization Centre (ICC), PSA berkaitan pengenalan ICC, program-program yang telah dijalankan serta pencapaian terkini. Selain itu, pegawai turut dibawa melawat produk-produk inovasi dari politeknik dan kolej komuniti seluruh Malaysia
yang telah di komersial dan dikumpulkan di ICC, PSA.
Penerangan ringkas berkaitan produk-produk berkenaan serta pencapaian juga diberikan oleh Penyelaras Data Inovasi, Dr. Murugadas Ramdas. Lawatan hari kedua telah dilaksanakan di PMK di mana pegawai UPIK PMJ disambut oleh Ketua UPIK PMK, Dr. Hjh. Rosnani Affandi.
 
Pegawai dibawa melawat pejabat UPIK PMK serta diperkenalkan dengan pegawai dan staf terlibat. Antara aktiviti lawatan pada hari kedua ialah perkongsian ilmu dan pengalaman tugas-tugas penyelidikan dari pegawai penyelidikan PMK, Pn. Lee Moi Fong dan pegawai perkomersialan PMK iaitu En. Saifulnizam Zakariah. Perbincangan serta perkongsian pendapat turut dijalankan bagi mendapat input untuk menjadi rujukan berkaitan dasar, strategi dan pelaksanaan aktiviti penyelidikan dan inovasi di PMJ.
Secara keseluruhannya, program lawatan ini diharap dapat membantu pihak UPIK PMJ merancang serta mengelola aktiviti penyelidikan dan inovasi di PMJ dengan lebih sistematik dan efisien.