2 Jun 2022 – Jabatan Perdagangan (JP) dan Persatuan Pelajar Jabatan Perdagangan (PPJP), Politeknik Mersing telah menganjurkan Program Khidmat Masyarakat bersama komuniti di Kampung Air Papan.
Program kali ini merupakan kesinambungan jalinan kerjasama antara Kampung Air Papan dan Politeknik Mersing yang telah terbina bermula sejak 2014. Politeknik Mersing telah memilih Kampung Air Papan sebagai Kampung Angkat Politeknik Mersing kerana ciri-ciri yang unik selain ukhuwah yg sekian lama terbina telah memberi manfaat dua hala bersama. Turut hadir memeriahkan program ialah Pengarah Politeknik Mersing, Puan Hilmun binti Mohamed, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik, Ts Suhana binti Ismail, Ketua Kampung Air Papan, Encik Mohamed Asri Bin Jaafar, ketua-ketua jabatan dan ketua-ketua unit Politeknik Mersing.
 
Antara aktiviti - aktiviti yang dijalankan ialah gotong-royong membersihkan kawasan persekitaran balai raya dan masjid, penanaman pokok dan mengecat petak parkir di Masjid Air Papan. Sumbangan pokok sebanyak 10 buah pokok cili dan 5 buah pokok kelapa pandan oleh Jabatan Pertanian Malaysia sebagai simbolik kepada perasmian Kampung Angkat Air Papan. Program berakhir dengan ucapan penghargaan daripada Pengarah Politeknik Mersing, Puan Hilmun Binti Mohamed dan sesi menandatangani jalinan kerjasama Kampung Angkat Air Papan bersama Pokiteknik Mersing.
 
Semoga program ini memberi impak yang baik kepada keterlibatan pelajar Politeknik Mersing terhadap komuniti setempat. Pelbagai perancangan aktiviti antara dua pihak telah dirangka bagi memastikan Jalinan Kampung Angkat Politeknik kekal aktif dan relevan. Program Khidmat Masyarakat hari ini merupakan program rintis kepada Fasa 1. Pelbagai program akan diadakan bersama Kg Air Papan selepas ini yang akan melibatkan Jabatan Teknologi Maklumat & Komunikasi (JTMK), Jabatan Kejuruteraan Elektrik (JKE), Jabatan Pengajian Am (JPA) dan Jabatan Matematik, Sains & Komputer (JMSK) Politeknik Mersing.