2 Mac 2021 - Politeknik Mersing telah menerima kehadiran 209 pelajar baharu bagi sesi Disember 2020. Pelajar-pelajar ini merupakan pelajar Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Jabatan Teknologi Maklumat & Komunikasi dan Jabatan Perdagangan. Pendaftaran bermula seawal jam 8.00 pagi secara pandu lalu. PMJ telah mengambil langkah serius dalam memastikan semua aspek keselamatan dipatuhi. Setiap individu di dalam kenderaan perlu membuat imbasan suhu dan bilangan ahli keluarga yang dibenarkan masuk ke kawasan kampus juga dihadkan.
Semua pelajar yang mendaftar perlu menjalani tempoh pengasingan selama 10 hari bagi memastikan mereka bebas dari Covid-19. Sepanjang tempoh itu, pelajar akan menjalani sesi orientasi secara atas talian. Jabatan Hal Ehwal Pelajar memastikan setiap masa pelajar diisi dengan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat.
 
Sesungguhnya Politeknik Mersing merasa berbesar hati menerima kehadiran semua pelajar baharu. Semoga pelajar tidak mensia-siakan peluang yang diberikan, apatah lagi dalam situasi pandemik ini, setiap pelajar perlu mengoptimumkan setiap keadaan. Jadikan pengalaman menuntut ilmu di PMJ sebagai salah satu kenangan termanis dan menggembirakan. Semua pensyarah serta kakitangan PMJ mendoakan agar para pelajar tamat belajar dengan keputusan yang membanggakan serta dapat berbakti pada keluarga, masyarakat dan negara.
Syabas dan tahniah juga diucapkan kepada semua jawatankuasa yang terdiri daripada kakitangan dan pelajar senior yang telah bertungkus lumus memastikan pendaftaran berjalan lancar.