24 Ogos 2025 | Ahad | Pantai Air Papan, Mersing
Seramai lebih 1,000 pelajar dan 88 kakitangan daripada Politeknik Mersing Johor (PMJ) telah menyertai Program XTIF Johor 2025 yang berlangsung meriah di Pantai Air Papan, Mersing, pada Ahad lalu. Kehadiran para pelajar PMJ melalui pasukan Southern Volunteers telah membantu memeriahkan Majlis Perasmian XTIF Johor 2025, selain memberikan sokongan kepada usaha kerajaan negeri dalam mempromosikan gaya hidup sihat dan kecergasan.
Program yang dianjurkan dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ), Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan) serta Pejabat Daerah Mersing ini telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor.
Dalam ucapannya, YAB Menteri Besar menekankan aspirasi kerajaan negeri melalui agenda Johor Sport Nation 2030, yang bertujuan mengubah gaya hidup rakyat Johor ke arah lebih sihat dan aktif melalui sukan, rekreasi dan aktiviti kecergasan.
Selain mempromosikan gaya hidup sihat, program ini turut menjadi platform untuk memperkenalkan Mersing sebagai bukan sahaja destinasi pelancongan semula jadi, malah berpotensi besar sebagai hab pelancongan sukan dan rekreasi bertaraf antarabangsa. Kehadiran ribuan peserta dari pelbagai institusi pendidikan, termasuk PMJ, membuktikan sokongan padu terhadap visi tersebut.