28 FEBRUARI & 14 MAC 2025 | JUMAAT | MERSING
PUSPANITA Politeknik Mersing telah menganjurkan Bengkel Pembuatan Kuih Ros dalam dua sesi yang berlangsung pada 28 Februari 2025 dan 14 Mac 2025. Bengkel ini mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan seramai 24 orang staf Politeknik Mersing yang berminat untuk mempelajari teknik pembuatan kuih tradisional ini.
Bengkel ini turut dihadiri oleh Pengerusi PUSPANITA Mersing, Puan Loh Sai Hwei, yang memberikan sokongan penuh terhadap inisiatif memperkasakan kemahiran kulinari dalam kalangan staf. Peserta berpeluang mempelajari langkah-langkah penyediaan kuih ros secara praktikal, termasuk teknik mencelup acuan, kawalan suhu minyak, serta cara memastikan kuih menjadi rangup dan enak.
Selain meningkatkan kemahiran dalam penyediaan kuih tradisional, bengkel ini juga berperanan sebagai platform untuk mengeratkan hubungan antara staf dalam suasana yang santai dan mesra. PUSPANITA Politeknik Mersing berharap agar lebih banyak program seperti ini dapat dianjurkan pada masa akan datang bagi memelihara warisan kulinari tempatan serta memperkaya pengalaman sosial dan kemahiran peserta.