16 JUN 2025 | ISNIN | KAMPUNG ASLI TANAH ABANG, MERSING
Majlis perasmian Program Sejati MADANI@ KPT: Penanaman Cili Fertigasi telah berjaya dianjurkan dengan jayanya pada 16 Jun 2025 (Isnin) bertempat di Kampung Tanah Abang, Mersing. Program ini merupakan satu inisiatif bagi membantu meningkatkan sosioekonomi komuniti setempat menerusi projek pertanian berasaskan fertigasi.
Majlis ini telah disempurnakan oleh Dr. Hj. Mohd Daud bin Isa, Pengarah Kanan (Akademik), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK). Turut hadir, Ts. Dr. Robert@ Kerk Swee Tian, Pengarah Politeknik Mersing, En Faisal bin Long, Pengarah JAKOA Negeri Johor, Pn. Marfi’ah binti Sodono, Pegawai Pertanian Daerah Mersing dan En. Nor Faizzi bin Sulaiman, Pembantu Pembangunan Masyarakat Pejabat Kemajuan Orang Asli Daerah (PKOAD) Mersing.
Sebanyak 5,000 anak pokok cili berjaya ditanam hasil daripada peruntukan geran berjumlah RM100,000 dari kerajaan dan Kementerian Pendidikan Tinggi. Projek penanaman cili fertigasi ini merupakan kerjasama awal antara Politeknik Mersing dan komuniti Orang Asli di Kampung Tanah Abang dalam usaha membina hubungan strategik dan memperkasa komuniti luar bandar melalui program berasaskan kemahiran dan ekonomi. Selepas ini, lebih banyak program kolaborasi bersama komuniti orang asli akan dilaksanakan merangkumi pelbagai bidang seperti latihan pertanian moden, program pendidikan dan aktiviti kesukarelawanan.
Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada barisan Pengurusan Tertinggi Politeknik Mersing, jawatankuasa pelaksana, agensi-agensi rakan strategik serta penduduk Kampung Tanah Abang yang turut serta menjayakan program ini.
Syabas dan tahniah kepada semua yang terlibat.
Semoga program seperti ini dapat diteruskan demi menyemarakkan nilai MADANI dalam kalangan masyarakat serta menyumbang kepada kesejahteraan komuniti setempat.