Majlis Jamuan Raya Aidilfitri 2025 telah berlangsung dengan penuh kemeriahan dan suasana mesra di Politeknik Mersing. Majlis ini merupakan hasil anjuran bersama antara Bank Islam Malaysia Berhad, Politeknik Mersing, dan agensi-agensi daerah Mersing yang menyatukan pelbagai lapisan masyarakat dalam semangat Syawal yang penuh keberkatan.
Majlis dimulakan dengan ketibaan para tetamu jemputan serta tetamu kehormat, YBhg. Tuan Haji Jamil Hasni bin Abdullah, Pegawai Daerah Mersing. Suasana majlis diserikan lagi dengan marhaban yang dialunkan oleh Ketua-Ketua Kampung Daerah Mersing bersama Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Mersing, diikuti dengan bacaan doa sebagai pembuka majlis. Seterusnya, majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Dr. Mohd Taib bin Ismail, Pengarah KWSP Wilayah Selatan, diikuti ucapan oleh Puan Ruminah binti Ismail, Timbalan Pengarah AADK Johor. Kemuncak majlis disempurnakan dengan ucapan oleh tetamu kehormat, YBhg. Tuan Haji Jamil Hasni bin Abdullah.
Sebagai simbol keprihatinan dan kasih sayang, turut diadakan sesi agihan sumbangan duit raya kepada 32 orang anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Mersing. Majlis turut meraikan reruai tercantik melalui penyampaian cenderahati, di samping memberikan penghargaan kepada tetamu kehormat yang hadir memeriahkan acara. Para tetamu turut dijamu dengan pelbagai hidangan istimewa sambil berpeluang melawat reruai dan ruang pameran yang disediakan. Majlis ditutup dengan sesi bergambar kenangan dan seterusnya bersurai dalam suasana penuh ukhwah dan kegembiraan.
Semoga majlis seperti ini terus menjadi jambatan mengeratkan silaturahim antara institusi, agensi dan masyarakat setempat.