𝐒𝐘𝐍𝐄𝐑𝐆𝐘 𝐂𝐎𝐋𝐋𝐀𝐁𝐎𝐑𝐀𝐓𝐈𝐎𝐍 𝐁𝐄𝐍𝐂𝐇𝐌𝐀𝐑𝐊𝐈𝐍𝐆 𝐅𝐎𝐑 𝐆𝐎𝐎𝐃 𝐏𝐑𝐀𝐂𝐓𝐈𝐂𝐄𝐒 @ 𝐁𝐈𝐍𝐆𝐎𝐋 𝐔𝐍𝐈𝐕𝐄𝐑𝐒𝐈𝐓𝐘, 𝐓𝐔𝐑𝐊𝐈𝐘𝐄
𝟐𝟔 𝐌𝐄𝐈 𝟐𝟎𝟐𝟒 | 𝐀𝐇𝐀𝐃 | 𝐏𝐎𝐋𝐈𝐓𝐄𝐊𝐍𝐈𝐊 𝐌𝐄𝐑𝐒𝐈𝐍𝐆
Lensa antarabangsa Politeknik Mersing hari ini melebarkan sayap dengan mengadakan Lawatan Kolaborasi Bersinergi untuk Penandaarasan Amalan Baik bertempat di Bingol Universiti, Turki pada 17-26 Mei 2024. Lawatan yang disertai oleh 7 orang Pegawai ini bertujuan untuk mewujudkan sinergi kerjasama dalam pembangunan kapasiti, meningkatkan kepakaran TVET dan kerjasama penyelidikan seterusnya memperkasakan kepimpinan bagi memastikan kelestarian halatuju transformasi JPPKK 2023-2030. Selain itu, lawatan ini juga membawa satu perspektif yang kontras dengan menampilkan perbezaan dari segi budaya, bahasa, pengurusan institusi dan pelbagai lagi. Namun daripada perbezaan ini wujud satu persamaan dimana hala tuju institusi pengajian adalah kearah kecemerlangan graduan.
Delegasi dari PMJ telah disambut oleh Assoc. Prof. Dr. Imran Aslan, Pensyarah dari Fakulti Pengurusan Kesihatan. Lawatan dimulakan dengan melawat ke Fakulti Pengurusan Kesihatan. Di sini intipati perbincangan ialah kearah keselamatan dan kesihatan pekerja serta kajian kolaborasi yang sedang dilaksanakan bersama institusi di Malaysia. Seterusnya, delegasi telah dibawa ke Bingol Universitesi Modern Aricilik Kompleksi (Pusat Penternakan dan Penyelidikan Lebah dan Madu). Pusat ini dilengkapi dengan pelbagai proses kerja dalam penghasilan dan penyelidikan yang berkaitan dengan lebah dan madu memandangkan Bingol terkenal sebagai salah satu daerah yang banyak menghasilkan produk tersebut. Justeru itu, pelbagai kajian yang berimpak telah dilaksanakan disini dalam memastikan kualiti dan kuantiti madu mereka adalah terbaik di Turki.
Delegasi PMJ terus dibawa ke Fakulti Kesenian, Sains dan Bahasa Asing dan Pejabat Ketua Unit Pengantarabangsaan Bingol University. Diskusi telah dilaksanakan bersama Assoc. Prof. Dr. Ahmet Kayintu, Ketua Unit Pengantarabangsaan Bingol University. Kedua-dua pihak telah mengadakan perbincangan kearah program-program antarabangsa seperti program mobiliti dan Erasmus+. Lawatan diteruskan dengan lawatan ke Bee & Local Product Research Centre. Di sini pelbagai kajian penyelidikan dan inovasi berasaskan lebah dan madu telah dihasilkan. Pusat ini turut mendapat biaya dari pelbagai institusi yang sedikit sebanyak dapat menggalakkan lebih banyak kajian dan produk yang berkualiti dihasilkan. Pelbagai pengetahuan diperolehi antaranya bunga-bunga yang boleh menjadi nutrien kepada lebah dan teknik-teknik untuk meningkatkan kualiti dan kuantiti madu. Kemudian, delegasi PMJ dibawa melawat ke Selahaddin-i Eyyubi Kutuphanesi (Perpustakaan). Terdapat pelbagai ruang dan kemudahan yang lengkap disediakan untuk kegunaan para pelajar di Bingol University. Lawatan diteruskan dengan Entrepreneurship Student Centre dan makmal sains.
Di akhir lawatan, satu seminar telah dilaksanakan. Seminar ini dikendalikan oleh Assoc. Prof. Dr. Imran Aslan, sementara pembentangan dari Politeknik Mersing diketuai oleh Ts. Raja Faraazlina selaku Ketua Unit Komunikasi Korporat dan dibantu oleh Cik Norhaslinda Binti Muhamadin selaku Pegawai Antarabangsa Politeknik Mersing. Pembentangan ini adalah bertujuan untuk memperkenalkan Politeknik Mersing kepada warga Bingol University. Sebagai tambahan, turut disampaikan ialah Pengurusan Kesihatan dalam Perspektif Malaysia. Sesi soal jawab turut diadakan untuk memberi dampak yang tinggi kepada imej dan keterlihatan Politeknik sebagai penyedia TVET utama dilensa antarabangsa secara umumnya. Hasil daripada program ini, Politeknik Mersing dapat memperkukuhkan kerjasama akademik, kolaborasi penyelidikan dan inovasi seterusnya membuka akses kepada fasiliti dan teknologi, meningkatkan kemahiran bahasa dan budaya bersama Bingol University. Pertukaran idea dan amalan terbaik antara kedua-dua institusi ini berpotensi mempertingkatkan kualiti pendidikan dan penyelidikan di Politeknik Mersing secara menyeluruh. Semoga akan lebih banyak program yang berimpak tinggi dihasilkan dengan bermulanya lawatan ini. Lebarkan sayap untuk terbang lebih tinggi tanpa melupakan akar yang kekal mengukuh ke bumi.