
27 Oktober – 2 November 2025, Baoji Vocational & Technical College, Baoji China
Politeknik Mersing Johor (PMJ) bersama International TVET Academy (ITA) dan ADTEC JTM Kampus Ipoh telah menyertai lawatan akademik dan latihan selama tujuh hari ke Baoji Vocational & Technical College, Baoji China. Program ini memberi fokus kepada latihan dalam bidang pembuatan pintar (smart manufacturing) merangkumi teknologi automasi dan integrasi sistem. Lawatan kerja ke industri seperti Baoji Zhongcheng Machine Tool Co. Ltd. dan Geely Manufacturing Plant juga dilaksanakan bagi melihat sendiri amalan baik industri yang diamalkan di negara China. Ini merupakan inisiatif kerjasama strategik antarabangsa antara PMJ dan Baoji Vocational & Technical College dalam usaha memperkukuh jaringan pendidikan, penyelidikan dan pembangunan kompetensi tenaga pengajar.
PMJ diwakili oleh:
1. En. Shahrulnizam bin Siran – Timbalan Pengarah Pembangunan
2. En. Shudermawan bin Jaruman – Pensyarah JKE
3. Ts. Mohd Farid bin Rahat – Pensyarah JKE
4. En. Kamarul Faiz bin Mihaj – Pensyarah JKE
Selain pengisian teknikal, pensyarah turut diberi pendedahan menyeluruh terhadap budaya kerja di sana seperti disiplin masa, pengurusan tugas yang sistematik serta semangat kerja berpasukan. Di samping itu, peserta juga berpeluang memahami budaya dan adat resam masyarakat setempat melalui sesi perkongsian, aktiviti sosial serta lawatan ke beberapa lokasi budaya. Pendedahan ini merangkumi nilai hormat-menghormati, cara interaksi masyarakat dan etika dalam majlis rasmi.
Program ini bukan sahaja membuka ruang untuk pertukaran ilmu dan teknologi, tetapi juga menjadi platform penting untuk memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan China, khususnya dalam bidang pendidikan. Politeknik Mersing Johor yakin bahawa hasil daripada program ini akan membawa manfaat besar kepada semua pihak dan menjadi asas kukuh bagi menjalin kerjasama strategik antarabangsa yang berterusan pada masa hadapan.

