
𝟐𝟖 𝐍𝐎𝐕𝐄𝐌𝐁𝐄𝐑 𝟐𝟎𝟐𝟓 | 𝐉𝐔𝐌𝐀𝐀𝐓 | 𝐏𝐌𝐉
Kerajaan Negeri Johor terus komited membantu anak jati Johor yang sedang melanjutkan pengajian di Institut Pengajian Tinggi melalui Bantuan One-Off Mahasiswa Johor bagi meringankan beban kewangan pelajar.
Alhamdulillah, seramai 1,148 mahasiswa Politeknik Mersing Johor bakal menerima bantuan RM200 seorang, melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM229,600.00.
Majlis penyerahan rasmi telah diadakan di Kolej Universiti Yayasan Pelajaran Johor (KUYPJ) dan disempurnakan oleh YB Hajah Rashidah Binti Ismail, ADUN Pasir Raja. Turut hadir, Ts. Dr. Robert Kerk Swee Tian, Pengarah Politeknik Mersing Johor, bagi mewakili PMJ menerima simbolik penyerahan bantuan tersebut.
Pada hari ini, pihak pengurusan turut berbesar hati menyerahkan bantuan tersebut secara rasmi kepada sebilangan kecil penerima di Dewan Permata Marjan, PMJ sebagai simbolik penyampaian kepada semua penerima di PMJ.
Inisiatif ini mencerminkan usaha berterusan Kerajaan Negeri Johor dalam memastikan kesejahteraan pelajar sentiasa diberi perhatian.
Bantuan ini diharapkan dapat meningkatkan motivasi para mahasiswa untuk meneruskan pengajian dengan lebih bersemangat dan berdedikasi.
Pihak PMJ mengucapkan tahniah kepada semua penerima dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Negeri Johor serta Yayasan Pelajaran Johor atas sokongan berterusan terhadap pembangunan akademik generasi muda Johor.

