9–10 Oktober 2025 – Delegasi Politeknik Mersing Johor (PMJ) telah mengadakan kunjungan hormat ke tiga industri yang baru-baru ini menandatangani Sijil Jalinan Kolaborasi Strategik bersama PMJ.

Kunjungan ini diketuai oleh Pengarah PMJ, Ts. Dr. Robert @ Kerk Swee Tian, diiringi Timbalan Pengarah, Pn. Azreen binti Khamis, serta wakil dari Unit Corporate, Industrial, Services and Employability Center (CISEC) PMJ.

Kunjungan pertama telah disambut mesra oleh En. Kamal Aryf bin Baharuddin, Ketua Pegawai Eksekutif PMCare Sdn. Bhd. Graduan Diploma Teknologi Maklumat (DIT) PMJ berpotensi untuk mengembangkan kerjaya bersama PMCare, sebuah syarikat yang mengurus manfaat dan kemudahan perubatan melalui penggunaan sistem perisian serta teknologi kecerdasan buatan (AI). Selain itu, pihak syarikat turut membuka peluang kerjasama dalam bidang penyelidikan pembangunan perisian.

Kunjungan kedua diterima oleh wakil Huacomm Telecommunication Engineering Sdn. Bhd., pakar dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi. Pihak syarikat turut mengalu-alukan pelajar DIT PMJ sebagai pelatih latihan industri dan prospek pekerja dalam bidang rangkaian serta keselamatan siber.

Kunjungan terakhir berlangsung di Pengasih Asia Sdn. Bhd., syarikat perundingan dan latihan yang diterajui oleh En. Hafizi bin Harun, Pengurus Besar. Pengasih Asia komited dalam bidang pembangunan insan dan kesihatan mental, serta bersedia menerima pelajar Diploma Sains Kesetiausahaan (DSK) dan Diploma Pengajian Perniagaan (DPM) bagi memperkukuh operasi dan latihan organisasi.

PMJ akan terus memantapkan hubungan strategik dengan industri ke arah melahirkan tenaga kerja TVET yang berkualiti dan relevan dengan keperluan semasa.