WARISAN JUARA: TRANSFORMASI ILMU, KARYA DIGITAL & BINTANG SIARAWAN PMJ

Kelab Orator Politeknik Mersing Johor (PMJ) dengan kerjasama Mersing Tourism Association (MTA) telah menganjurkan Warisan Juara: Transformasi Ilmu, Karya Digital & Bintang Siarawan PMJ pada 25 dan 26 September 2026.

Program dimulakan pada 25 September 2026 dengan sesi transformasi ilmu bersama Juara Ikon Siarawan POLYCC 2026, Noraliza binti Mohd Yazid. Menerusi sesi tersebut, Noraliza berkongsi pengalaman dan kemahiran dalam bidang pengucapan serta penyiaran kepada pelajar lain sebagai usaha menyemarakkan budaya perkongsian ilmu.

Pada 26 September 2026, pertandingan Bintang Siarawan PMJ berlangsung di Galeri Informasi Taman Laut, Pejabat Taman Laut Negeri Johor bagi mengetengahkan bakat pelajar dalam bidang komunikasi, penyiaran dan penghasilan karya digital. Setiap Bintang Siarawan digandingkan dengan seorang Rakan Produksi yang berperanan dalam aspek rakaman serta pemilihan sudut kamera sepanjang pertandingan.

Para pelajar turut berpeluang mengikuti penerangan berkaitan Taman Laut Mersing yang disampaikan oleh Encik Ahmad Firdaus bin Shaik Omar, Setiausaha Mersing Tourism Association, sekali gus memberi pendedahan mengenai khazanah marin dan tarikan pelancongan yang terdapat di daerah Mersing.

Adiera Puteri binti Abdul Razak bersama Rakan Produksi, Nur Al Ma’idah binti Jamal, dinobatkan sebagai Johan Bintang Siarawan PMJ.

Nur Nayli Batrisyia binti Mohamad Hairul Ikmal bersama Rakan Produksi, Noralia Maisara binti Muhammad Polley, meraih Naib Johan, manakala Ameer Firdaus bin Shafiq bersama Rakan Produksi, Muhammad Amirul Hakimi bin Yazid, memperoleh Tempat Ketiga.

Kejayaan ketiga-tiga gandingan ini turut menyerlahkan peranan Rakan Produksi yang menyumbang dari aspek teknikal dan rakaman di sebalik tabir. Semua peserta menerima e-Sijil Penyertaan, manakala Bintang Siarawan dan Rakan Produksi bagi gandingan yang berjaya menerima e-Sijil Pencapaian. Para pemenang turut menerima hadiah tajaan MTA sebagai penghargaan atas pencapaian masing-masing.

Setinggi-tinggi penghargaan dirakamkan kepada MTA, Pejabat Taman Laut Negeri Johor, pihak pengurusan PMJ serta semua pihak yang telah memberikan sokongan dalam menjayakan program ini.

Warisan Juara bukan sahaja menjadi ruang untuk mencungkil bakat dan membina keyakinan pelajar, malah memperluas pengalaman mereka melalui perkongsian ilmu, penghasilan karya digital serta pendedahan kepada khazanah marin dan pelancongan tempatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *