𝐏𝐌𝐉–𝐀𝐏𝐌 𝐍𝐄𝐆𝐄𝐑𝐈 𝐉𝐎𝐇𝐎𝐑 𝐑𝐀𝐍𝐆𝐊𝐔𝐋 𝐉𝐎𝐇𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐑𝐓𝐀𝐍𝐃𝐈𝐍𝐆𝐀𝐍 𝐈𝐍𝐎𝐕𝐀𝐒𝐈 𝐉𝐏𝐌 𝟐𝟎𝟐𝟔 𝐌𝐄𝐋𝐀𝐋𝐔𝐈 𝐒𝐈𝐒𝐓𝐄𝐌 𝐏𝐑𝐎𝐓𝐄𝐊, 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐀𝐒𝐀 𝐊𝐄𝐒𝐄𝐋𝐀𝐌𝐀𝐓𝐀𝐍 𝐆𝐎𝐋𝐎𝐍𝐆𝐀𝐍 𝐑𝐄𝐍𝐓𝐀𝐍 𝐊𝐄𝐓𝐈𝐊𝐀 𝐁𝐄𝐍𝐂𝐀𝐍𝐀

𝟐𝟎 𝐎𝐊𝐓𝐎𝐁𝐄𝐑 𝟐𝟎𝟐𝟔 | 𝐒𝐄𝐋𝐀𝐒𝐀 | 𝐂𝐘𝐁𝐄𝐑𝐉𝐀𝐘𝐀

Politeknik Mersing Johor (PMJ) terus mengukir kecemerlangan apabila berjaya menjalin kerjasama strategik dengan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Johor dalam pembangunan Sistem Program Tindakan Kecemasan (PROTEK) yang merangkul gelaran Johan Pertandingan Inovasi Peringkat Jabatan Perdana Menteri (JPM) Tahun 2026 bagi Kategori Trek Sosial.

Kejayaan membanggakan ini telah disampaikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, pada Majlis Sambutan Hari Inovasi dan Kecemerlangan Jabatan Perdana Menteri Tahun 2026 yang berlangsung di Cyber Event Hall, Cyberjaya, Selangor. Kemenangan tersebut turut menerima hadiah wang tunai sebanyak RM5,000.00 berserta sijil kemenangan.

Sistem PROTEK merupakan inovasi respons kecemasan berasaskan web yang dibangunkan bagi membantu golongan rentan mendapatkan bantuan ketika berlakunya bencana, khususnya banjir semasa Monsun Timur Laut (MTL). Sistem ini dilengkapi fungsi pemetaan geografi untuk mengenal pasti lokasi golongan rentan serta Disaster Assistance Chatbot, iaitu platform komunikasi bantuan berasaskan kecerdasan buatan (Artificial Intelligence, AI). Pembangunan sistem ini bertujuan memudahkan pengenalpastian individu yang memerlukan bantuan, mempercepat penyampaian maklumat dan menyokong tindakan kecemasan yang lebih sistematik, responsif serta inklusif.

Pembangunan PROTEK telah dilaksanakan secara berperingkat sejak April 2025 melalui kerjasama erat antara APM Negeri Johor dengan PMJ. Kolaborasi ini menggabungkan kepakaran, perkongsian idea dan aplikasi teknologi bagi menghasilkan penyelesaian inovatif yang memenuhi keperluan sebenar masyarakat, khususnya golongan rentan yang berisiko menghadapi kesukaran mendapatkan bantuan atau menyelamatkan diri ketika bencana.

Pasukan projek ini melibatkan Pn. Munirah binti Ab Rahman dan En. Shahrulnizam bin Siran, bersama-sama tiga orang pelajar PMJ serta lima orang wakil APM Negeri Johor. Penglibatan pensyarah dan pelajar dalam pembangunan inovasi berimpak tinggi ini mencerminkan komitmen PMJ dalam memperkasa budaya penyelidikan, pembangunan dan inovasi (R&D&I), di samping mengaplikasikan ilmu serta kemahiran TVET untuk menangani cabaran sebenar dalam komuniti.

Kejayaan merangkul Johan ini bukan sekadar pengiktirafan terhadap kecemerlangan inovasi, malah membuktikan bahawa sinergi antara institusi TVET dengan agensi kerajaan mampu menghasilkan teknologi yang memberi manfaat langsung kepada kesejahteraan rakyat. Inisiatif ini juga berpotensi untuk terus ditambah baik dan diperluas penggunaannya bagi memperkukuh kesiapsiagaan serta pengurusan bantuan kecemasan pada masa hadapan.

Tahniah diucapkan kepada seluruh pasukan PMJ dan APM Negeri Johor atas pencapaian yang membanggakan ini. Semoga kejayaan PROTEK menjadi pemangkin kepada lebih banyak inovasi berimpak tinggi yang bukan sahaja mencipta kecemerlangan, malah membawa perubahan bermakna kepada masyarakat.

PMJ Terbang Tinggi — Inovasi Dipacu, Komuniti Diperkasa!

Sumber Gambar: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Johor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *