Ramadan adalah bulan yang Allah janjikan kepada seluruh umatnya untuk mendapat pahala yang berlipat ganda. Justeru itu, Program Iftar Ramadan Perdana telah dilaksanakan dengan tujuan untuk mendapatkan keredhaan Allah dan memohon agar ibadah yang dilakukan akan mendapat ganjaran pahala dari Allah S.W.T. serta dapat meningkatkan penghayatan terhadap bulan Ramadan.
Oleh itu, Kelab Kebajikan & Rekreasi Staf Politeknik Mersing dengan kerjasama Pusat Islam Politeknik Mersing, Puspanita Cawangan Kecil PMJ dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Cawangan Mersing). mengambil kesempatan ini untuk mengadakan Program lftar Ramadhan Perdana Politeknik Mersing Bagi Tahun 1442 Hijrah bagi mengimarahkan/menghidupkan Ramadan Al-Mubarak.
 
Majlis ini diserikan lagi dengan kehadiran YB Puan Hajah Alwiyah Binti Talib, Ahli Dewan Undangan Negeri Endau , Puan Hajah Norshahidah Bariyah Binti Abdul, Pengerusi Puspanita Cawangan Kecil Politeknik Mersing serta para tetamu dari Bank Rakyat Cawangan Mersing iaitu Encik Zairuddin Bin Paiman, Encik Mohd Faiz Bin Azaman dan Encik Mohd Yakob Bin A. Rahman.
Dalam majlis ini, Encik Zairuddin Bin Paiman, selaku Pemangku Penolong Pengurus Cawangan telah menyampaikan sumbangan wang tunai kepada 90 orang pelajar PMJ.
 
Pihak Puspanita juga telah mengambil inisiatif di mana mereka telah berjaya mengumpul dana bagi sumbangan bakul Ramadan. Sumbangan ini telah diserahkan oleh Puan Hajah Norshahidah Bariyah kepada 55 orang staf PMJ, pasukan RELA dan petugas-petugas kontrak. Kesemua mereka ini turut mendapat sumbangan daripada YB Puan Hajah Alwiyah.
 
Dalam ucapan YB, beliau telah menggalakan amalan bersedekah dan berkongsi rezeki. Tambah beliau lagi, amalan membahagiakan orang lain ini adalah amalan yang mulia dan kita hendaklah sentiasa hiasi kehidupan dengan berbuat kebaikan serta memberi manfaat kepada insan lain. Puan Hilmun juga telah menzahirkan harapan beliau agar persaudaraan, perpaduan dan kasih sayang di antara warga Politeknik Mersing dengan masyarakat luar akan terus diperkasakan dan disuburkan bagi membentuk ummah yang cemerlang dan bersatu padu. Beliau menyeru agar semua pelajar, hendaklah sentiasa berkeinginan untuk terus memperbaiki diri dari semasa ke semasa supaya menjadi anak watan yang sama-sama menyumbang kepada kemakmuran negara.
 
Dalam majlis ini juga, semua yang hadir telah berpeluang mendengar dan menghayati tazkirah yang telah disampaikan oleh Ustaz Khairul Fitri Bin Mohd, Ketua Kursus Jabatan Pengajian Am. Kesemua 620 pelajar yang berada di kampus telah dibekalkan makanan secara bungkus dan program dijalankan dengan SOP yang ketat dan dipantau oleh Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan PMJ.
Semoga semua amal ibadah kita diterima ALLAH S.W.T dan mencapai keredhaan dan rahmatNya. InsyaAllah.